Wednesday, May 25, 2011

TANGGUNGJAWAB SOSIAL



------
MOHON KERJASAMA PENDUDUK MEMBERSIHKAN KAWASAN RUMAH MASING-MASING---












Gerak kerja gotong royong sering kali dilakukan saban tahun tetapi kali ini persatuan mengambil pendekatan menambah nilai dengan mengadakan khidmat potong pokok bagi membersihkan kawasan sekitar perumahan kelihatan lebih menarik.
Pokok-pokok mangga yang kelihatan merimbun di sekitar kawasan perumahan eloklah ditebang kerana ia sering menimbulkan masalah di mana daun-daun keringnya berguguran menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes.
Persatuan bersedia menebang mana-mana pokok besar di kawasan rumah warga fasa 3 dengan bayaran yang berpatutan. Persatuan akan menghubungi pihak MPS untuk pengangkutan membawa pokok yang ditebang ke luar kawasan.

Tuesday, May 24, 2011

SIARAN LANGSUNG


Warga Fasa 3 sedang menonton siaran langsung bola sepak dari Jakarta, Indonesia perlawanan akhir Piala AFF Suzuki antara Malaysia dengan Indonesia di dataran KRT Taman Panchor Jaya melalui skrin besar pada malam 29 Disember 2010.
Akhirnya Malaysia telah berjaya menjadi juara sejak pertama kali piala ini dianjurkan. Jaringan gol Safee Sali ala Fernando Torres menyebabkan sayap garuda Indonesia patah dan berkecai di Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia. Walaupun Indonesia menang 2-1 di tempat sendiri, keputusan agregat 4-2 bererti Malaysia bergelar juara.
Skuad Harimau Malaya telah membaham Indonesia dengan kemenangan bergaya 3-0 terdahulu di Kuala Lumpur.
Semoga kemenangan ini akan menjadi titik tolak kepada kebangkitan bola sepak Malaysia. Kami sakit tekak selepas riuh rendah menjerit dengan sorakan kegembiraan memberi sokongan sepanjang perlawanan.
Siaran langsung dibawa khas oleh Persatuan Penduduk Fasa 3 Taman Panchor Jaya. Jumpa lagi di tahun hadapan, insya-Allah.

Saturday, May 14, 2011

MAJLIS TEMU MESRA MPS


Majlis Temu Mesra bersama Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dengan agensi-agensi kerajaan yang diadakan pada 9 April 2010 anjuran Persatuan Penduduk Fasa 3 Taman Panchor Jaya mendapat sambutan yang menggalakkan.
Tujuan majlis pertemuan itu diadakan ialah untuk memberi peluang kepada warga Fasa 3 meluahkan permasalahan mereka seperti banjir kilat, longkang tersumbat, jalan raya berlopak dan pelbagai lagi untuk tindakan segera daripada MPS atau agensi berkaitan.
Majlis telah dihoskan oleh Yang Dipertua MPS, Dato' Halim Abdul Latif dan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Yang Berhormat Tuan Mustafa Salim.
Persatuan Penduduk telah memohon 8 perkara kepada MPS dan telah diluluskan antaranya ialah:
1.Tanda nama jalan
2. Bonggol
3. Penurapan jalan
4. Membaiki longkang dan pembersihan
5. Pasar malam bergerak
6. Lampu jalan
7. Dewan komuniti
8. 500 unit pelbagai jenis bunga (hiasan taman)

Yang Berbahagia Dato' Halim telah meluluskan peruntukan RM 1,000 sementara YB Mustafa Salim pula sebanyak RM 2,000.

TERIMA KASIH MPS & YB

MENJAMU SELERA



MENYELERAKAN... Ahli rombongan dijamu minum petang di dewan makan Putra Perdana usai taklimat pembangunan Putrajaya di Dewan Teater aras 1 Blok Timur.
Siri lawatan bersejarah ke JPM.

ERAT KERJASAMA


SALAM MESRA...Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Perdana Menteri (JPM), Encik Hassan Busu menyampaikan cenderamata kepada Hj Zubir Hj Dahari, Pengerusi Persatuan Penduduk Fasa 3, Taman Panchor Jaya.
Cenderamata yang disampaikan amat bermakna buat persatuan kerana ia akan mengeratkan lagi tali silaturahim dan tanda kerjasama yang berkekalan.
Perbincangan dua hala harus dipupuk antara kedua pihak dari semasa ke semasa untuk menyalurkan bantuan dan kerjasama bagi mencapai matlamat persatuan berwawasan.
Siri lawatan ke JPM.


PEMIMPIN MASYARAKAT

POSE MENARIK...dari kiri, Ahmad Wahid (Pengerusi COMBI), Encik Hassan Busu (Pegawai Perhubungan Awam JPM), Hj Zubir Hj Dahari (Pengerusi Persatuan Penduduk), Kapten (B) Norefendie Ismail (Pengerusi KRT), Hj Omar Osman (Ketua UMNO) dan Mat Kasri Kaimi (pesara polis).
Gambar ini diambil ketika lawatan ke Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada 11 Januari 2011 anjuran Persatuan Penduduk Fasa 3 Taman Panchor Jaya.

Friday, May 13, 2011

LAWATAN BERSEJARAH KE JABATAN PERDANA MENTERI




SERAMAI 40 orang ahli Persatuan Penduduk Fasa 3 Taman Panchor Jaya telah mengikuti lawatan akademik ke Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya pada 11 Januari 2011 yang lalu.

Rombongan yang diketuai Pengerusi Persatuan Penduduk Fasa 3 (PPF3), Hj Zubir Hj Dahari dan dibantu Ahmad Wahid, Bendahari PPF3 berlepas ke Kuala Lumpur pukul 8.00 pagi dengan sebuah bas yang disewa khas.

Turut sama dalam rombongan Ketua UMNO Taman Panchor Jaya Bestari, Hj Omar Osman, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Kapten (B) Norefendie Ismail, ibu-ibu tunggal dari Rumah Ibuku Sayang dan Ahli Jawantankuasa Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Negeri Sembilan.

Rombongan terlebih dulu dibawa melawat Petrosains di Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Mereka menghabiskan masa selama sejam melihat pameran bagaimana usaha Petronas mencarigali minyak untuk hasil negara.

Usai makan tengah hari di Restoran Kampung Pandan, rombongan terus dibawa ke Putrajaya.Tujuan lawatan ialah untuk memberi peluang kepada ahli meninjau lebih dekat pentadbiran negara yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Setibanya di sana kira-kira pukul 3 petang ahli rombongan di bawa masuk melalui Balai Pengawal Utama menuju ke bangunan Perdana Putra dan turun ke bawah dengan lif menuju ke Dewan Teater Aras 1 Blok Timur untuk mendengar taklimat pembangunan Putrajaya.

Encik Hassan Busu, Pegawai Perhubungan Awam selaku wakil dari Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perdana Menteri telah menyampaikan taklimatnya sambil menunjukkan tayangan slaid selama 45 minit dan kemudian membuka sesi soal jawab untuk hadirin. Menurut salah seorang pegawai komunikasi korporat yang hadir memaklumkan Perdana Menteri tidak dapat bersama meluangkan masa untuk bertemu rombongan kerana YAB sedang mengadakan mesyuarat keselamatan.

Selepas taklimat rombongan dijamu minum petang di dewan makan. Rombongan kemudian dibawa melawat sekitar bangunan Perdana Putra, lobi perdana, laman perdana dan dataran perdana di mana diadakan perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri.

Hampir dua jam berada di Perdana Putra, rombongan kemudian sembahyang Asar di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali masjid besi yang hanya kira-kira dua kilometer jauhnya dari situ. Usai solat, rombongan membeli-belah sakan di Pasar Tani Mega sebelum berangkat pulang ke Seremban.