Friday, May 13, 2011

LAWATAN BERSEJARAH KE JABATAN PERDANA MENTERI




SERAMAI 40 orang ahli Persatuan Penduduk Fasa 3 Taman Panchor Jaya telah mengikuti lawatan akademik ke Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya pada 11 Januari 2011 yang lalu.

Rombongan yang diketuai Pengerusi Persatuan Penduduk Fasa 3 (PPF3), Hj Zubir Hj Dahari dan dibantu Ahmad Wahid, Bendahari PPF3 berlepas ke Kuala Lumpur pukul 8.00 pagi dengan sebuah bas yang disewa khas.

Turut sama dalam rombongan Ketua UMNO Taman Panchor Jaya Bestari, Hj Omar Osman, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Kapten (B) Norefendie Ismail, ibu-ibu tunggal dari Rumah Ibuku Sayang dan Ahli Jawantankuasa Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Negeri Sembilan.

Rombongan terlebih dulu dibawa melawat Petrosains di Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Mereka menghabiskan masa selama sejam melihat pameran bagaimana usaha Petronas mencarigali minyak untuk hasil negara.

Usai makan tengah hari di Restoran Kampung Pandan, rombongan terus dibawa ke Putrajaya.Tujuan lawatan ialah untuk memberi peluang kepada ahli meninjau lebih dekat pentadbiran negara yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Setibanya di sana kira-kira pukul 3 petang ahli rombongan di bawa masuk melalui Balai Pengawal Utama menuju ke bangunan Perdana Putra dan turun ke bawah dengan lif menuju ke Dewan Teater Aras 1 Blok Timur untuk mendengar taklimat pembangunan Putrajaya.

Encik Hassan Busu, Pegawai Perhubungan Awam selaku wakil dari Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perdana Menteri telah menyampaikan taklimatnya sambil menunjukkan tayangan slaid selama 45 minit dan kemudian membuka sesi soal jawab untuk hadirin. Menurut salah seorang pegawai komunikasi korporat yang hadir memaklumkan Perdana Menteri tidak dapat bersama meluangkan masa untuk bertemu rombongan kerana YAB sedang mengadakan mesyuarat keselamatan.

Selepas taklimat rombongan dijamu minum petang di dewan makan. Rombongan kemudian dibawa melawat sekitar bangunan Perdana Putra, lobi perdana, laman perdana dan dataran perdana di mana diadakan perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri.

Hampir dua jam berada di Perdana Putra, rombongan kemudian sembahyang Asar di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali masjid besi yang hanya kira-kira dua kilometer jauhnya dari situ. Usai solat, rombongan membeli-belah sakan di Pasar Tani Mega sebelum berangkat pulang ke Seremban.


No comments:

Post a Comment