Sunday, June 26, 2011

IBU MITHALI



Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Fasa 3, Ustazah Rayah bt Abdul Ghani dinobatkan Ibu Mithali oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pada Hari Keluarga 19 Jun 2011 di Masjid Kariah Panchor Jaya usai Forum Perdana.
Ustazah Rayah merupakan pengasas Rumah Kebajikan Anakku Sayang Seremban (RKASS) dan Rumah Ibuku Sayang (ibu tunggal). Jasa beliau menabur bakti dengan membela 10 orang anak yatim dan ditempatkan di sebuah rumah yang amat selesa, penghantaran ke sekolah diuruskan dengan baik dan sentiasa mendisiplin mereka solat berjemaah di masjid.
Kepada ibu-ibu tunggal dibinakan sebuah rumah untuk mereka menumpang berteduh dan diberikan pendidikan agama sewajarnya. Walaupun ibu-ibu ini ada anak dan keluarga tetapi mereka ke Rumah Ibuku Sayang untuk mendapat pembelaan.
Berkat usaha gigih Ustazah Rayah kedua-dua buah rumah ini dibeli dengan derma orang ramai. Persatuan penduduk mengambil inisiatif menghulurkan sedikit bantuan kewangan dan buku-buku agama untuk perpustakaan anak yatim.

Friday, June 24, 2011

HARI KELUARGA MKPJ



Sambutan Hari Keluarga sempena Hari Ibu dan Bapa disambut begitu meriah pada 19 Jun 2011 lalu di Masjid Kariah Panchor Jaya (MKPJ). Program ini dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seremban dan dirasmikan oleh YB Tuan Mustafa Salim, ADUN Lenggeng.
Pelbagai acara telah dilaksanakan seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan dan derma darah, pertandingan memasak dan gubahan, kuiz keluarga, persembahan multimedia dan forum perdana.
Forum Perdana yang bertemakan 'Sayang Bapa Membawa Bahagia, Sayang Ibu Membawa Ke Syurga' mengemukakan dua orang penalis, SF Ustaz Nor Azamir, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan Ustazah Nik Norsaha, Wanita ISMA.
Adik Zaid Najmuddin, pemenang tempat ketiga final adik-adikku musim ke-2 diundang khas untuk membuat penampilan khas dengan laungan azan yang berkumandang di udara Taman Panchor Jaya.
Untuk memeriahkan lagi suasana, gerai-gerai jualan kain, minuman dan makanan turut dibuka.
YB Mustafa dalam ucapan perasmian telah meluluskan peruntukan RM 5,000 untuk pembangunan masjid.
Persatuan Penduduk Fasa 3 turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM 200 dan buku-buku agama untuk perpustakaan MKPJ.

Monday, June 20, 2011

SUKANEKA MERIAH


Yang Berhormat Tuan Mustafa Salim, Ahli Dewan Undangan Kawasan Lenggeng membuat gimik tendangan penalti sebanyak tiga kali untuk perasmian penutup program Minggu Remaja Bersama Masyarakat DUN Lenggeng di padang awam Taman Panchor Jaya pada 12 Jun 2011
(Ahad).
Pada hari penutup tersebut Persatuan Penduduk Fasa 3 Taman Panchor diberi kesempatan melaksanakan acara sukaneka untuk keluarga yang hadir pada hari itu. Sebanyak 20 acara telah dapat dilaksanakan dengan jayanya dan pemenang-pemenang menerima hadiah masing-masing yang disampaikan oleh YB Mustafa.
Program ini telah berjalan pada 28 Mei 2011 lagi dengan pertandingan futsal, sepak bola, gotong-royong dan pelbagai lagi acara di seluruh DUN Lenggeng.
Kemeriahan minggu remaja ini terserlah apabila tiba hari kemuncak perasmian penutup di Taman Panchor Jaya.
Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi Taman Panchor Jaya (KKSR) pemain utama mengendalikan program tersebut. Segala kemudahan gelanggang futsal yang ada di kawasan Taman Panchor Jaya Fasa 7&8, Taman Seri Telawi digunakan untuk pertandingan futsal manakala padang awam Taman Panchor pula untuk acarasep bola sepak dan sukaneka.
Program melibatkan masyarakat ini mendapat peruntukan besar dari Pejabat Menteri Besar.



Wednesday, June 8, 2011

PROGRAM TURUN PADANG




Program 'turun padang' merupakan rutin harian YB Tuan Mustafa Salim, ADUN Lenggeng yang sudah terbiasa melawat kampung-kampung di kawasannya. Jika tidak sibuk dengan tugasan wakil rakyat atau memenuhi agenda mesyuarat di pejabat atau persidangan dewan undangan negeri di Seremban beliau akan sentiasa meluangkan masa bertemu penduduk kampung.
Pada Rabu lepas (8.6.2011) YB Mustafa besama Pengerusi-Pengerusi JKKK dan ketua kampung dibawa meredah perkampungan Lenggeng untuk menyampaikan bantuan kepada 10 orang miskin dan OKU.
Penulis yang turut bersama rombongan YB dapat merasai betapa nikmatnya orang kampung menerima pembangunan prasarana dan kemudahan yang disediakan kerajaan seperti jalan raya yang sudah berturap membelah kebun-kebun getah mereka.
Rumah-rumah kampung di sekitar Lenggeng ini dapat dilihat sudah mula bertukar wajah dengan pembinaan rumah batu dan dicat dengan hiasan menarik pada rumah-rumah mereka. Jalan-jalan raya yang sudah dilebarkan memudahkan penduduk berurusan ke mana-mana destinasi yang mereka mahu pergi.
Program bermula dari pejabat DUN Lenggeng pukul 9.00 pagi dan berakhir hingga pukul 1.00 tengah hari dengan menaiki kereta dan motosikal. Kadang-kadang YB menaiki kereta dan adakalanya membonceng motosikal. Demi kewajiban pada masyarakat YB tetap gigih menyampaikan bantuan dan bersedia mendengar keluhan dan rintihan mereka. Ada di antara penerima sumbangan yang sudah pun mendapat bantuan kewangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat masih lagi memohon bantuan kepada YB.
YB menyatakan peruntukan dari Pejabat Menteri Besar akan dipohon untuk disalurkan kepada mereka dan yang lebih penting tegas YB supaya mereka memberikan sokongan kepada kerajaan pada pilihan raya akan datang.
Program turun padang ini akan dilanjutkan ke Taman Panchor Jaya pula sebelum tiba bulan Ramadan nanti. Insya-Allah.



Sunday, June 5, 2011

TERIMA SUMBANGAN


Persatuan Penduduk Fasa 3 menerima sumbangan RM 5,000 bagi membiayai aktiviti persatuan. Sumbangan cek disampaikan sendiri oleh YAB Dato' Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan dalam satu majlis di Bilik Tetamu Khas, Wisma Negeri pada 31 Mei 2011.
Sudah dua tahun berturut-turut persatuan menerima sumbangan dari Pejabat Menteri Besar. Insya-Allah persatuan akan manfaat sumbangan ini digunakan untuk pelbagai aktiviti tahunan.
Sebelum itu persatuan juga ada menerima sumbangan sebanyak RM 3,000 dari Majlis Agama Islam Negeri Sembilan pada 3 Mei 2011.

Sunday, May 29, 2011

MESYUARAT SUKAN DUN LENGGENG



Program minggu remaja bersama masyarakat DUN Lenggeng diadakan bagi tujuan mengisi kekosongan aktiviti di kalangan masyarakat setempat terutama semua penduduk di dalam DUN Lenggeng yang ditunjukkan melalui aktiviti sepanjang musim cuti persekolahan di beberapa lokasi yang merangkumi kawasan DUN Lenggeng.
Diharapkan dengan ada dan terlaksananya aktiviti ini akan memberi ruang yang lebih luas kepada golongan muda remaja terutamanya belia untuk berinteraksi dengan masyarakat.
Program akan bermula pada 4 Jun dan berakhir 12 Jun 2011 di mana upacara perasmian penutup yang akan di sempurnakan oleh YB Tuan Mustafa Salim di padang Taman Panchor Jaya.
Antara tempat-tempat yang terlibat dengan acara gotong royong, pertandingan nasyid, azan, syarahan agama melibat para remaja diadakan di masjid-masjid Sungai Macang, Kampung Rawa, Pekan Lenggeng dan Masjid Kariah Panchor Jaya.
Pertandingan futsal di gelanggang futsal, Taman Sri Telawi, Pantai, Kampung Rawa dan Taman Panchor Jaya. Semetara bola sepak pula di padang Pekan Lenggeng, Broga, Sungai Macang, Kampung Panchor dan Taman Panchor Jaya.
Jawatankuasa penganjur mengharapkan penduduk setempat memberi kerjasama dan datang beramai-ramai memeriahkan acara-acara sukan dan aktiviti gotong royong bila diadakan di kawasan masing-masing.


Wednesday, May 25, 2011

PEMERIKSAAN KESIHATAN


Satu program pemeriksaan kesihatan bertemakan 'Sayangi Diri, Utamakan Kesihatan' oleh Klinik Kesihatan Ampangan untuk warga fasa 3 diadakan di rumah 864 Jalan Semarak 15 pada 31 Oktober 2009. Tujuan pemeriksaan yang bermula pukul 9.00 pagi diadakan bagi mengetahui tahap kesihatan penduduk seperti darah tinggi, kencing manis, lemah jantung dan pelbagai lagi penyakit. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Kebajikan Sukan & Rekreasi Taman Panchor Jaya.
Warga emas memberikan komitmen untuk hadir beramai-ramai sehinggakan pihak penganjur kehabisan borang penyelidikan. Pihak Klinik Ampangan sangat gembira dengan sambutan yang diberikan oleh masyarakat di sini.
Terima kasih atas sokongan anda.

TANGGUNGJAWAB SOSIAL



------
MOHON KERJASAMA PENDUDUK MEMBERSIHKAN KAWASAN RUMAH MASING-MASING---












Gerak kerja gotong royong sering kali dilakukan saban tahun tetapi kali ini persatuan mengambil pendekatan menambah nilai dengan mengadakan khidmat potong pokok bagi membersihkan kawasan sekitar perumahan kelihatan lebih menarik.
Pokok-pokok mangga yang kelihatan merimbun di sekitar kawasan perumahan eloklah ditebang kerana ia sering menimbulkan masalah di mana daun-daun keringnya berguguran menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes.
Persatuan bersedia menebang mana-mana pokok besar di kawasan rumah warga fasa 3 dengan bayaran yang berpatutan. Persatuan akan menghubungi pihak MPS untuk pengangkutan membawa pokok yang ditebang ke luar kawasan.

Tuesday, May 24, 2011

SIARAN LANGSUNG


Warga Fasa 3 sedang menonton siaran langsung bola sepak dari Jakarta, Indonesia perlawanan akhir Piala AFF Suzuki antara Malaysia dengan Indonesia di dataran KRT Taman Panchor Jaya melalui skrin besar pada malam 29 Disember 2010.
Akhirnya Malaysia telah berjaya menjadi juara sejak pertama kali piala ini dianjurkan. Jaringan gol Safee Sali ala Fernando Torres menyebabkan sayap garuda Indonesia patah dan berkecai di Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia. Walaupun Indonesia menang 2-1 di tempat sendiri, keputusan agregat 4-2 bererti Malaysia bergelar juara.
Skuad Harimau Malaya telah membaham Indonesia dengan kemenangan bergaya 3-0 terdahulu di Kuala Lumpur.
Semoga kemenangan ini akan menjadi titik tolak kepada kebangkitan bola sepak Malaysia. Kami sakit tekak selepas riuh rendah menjerit dengan sorakan kegembiraan memberi sokongan sepanjang perlawanan.
Siaran langsung dibawa khas oleh Persatuan Penduduk Fasa 3 Taman Panchor Jaya. Jumpa lagi di tahun hadapan, insya-Allah.

Saturday, May 14, 2011

MAJLIS TEMU MESRA MPS


Majlis Temu Mesra bersama Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dengan agensi-agensi kerajaan yang diadakan pada 9 April 2010 anjuran Persatuan Penduduk Fasa 3 Taman Panchor Jaya mendapat sambutan yang menggalakkan.
Tujuan majlis pertemuan itu diadakan ialah untuk memberi peluang kepada warga Fasa 3 meluahkan permasalahan mereka seperti banjir kilat, longkang tersumbat, jalan raya berlopak dan pelbagai lagi untuk tindakan segera daripada MPS atau agensi berkaitan.
Majlis telah dihoskan oleh Yang Dipertua MPS, Dato' Halim Abdul Latif dan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Yang Berhormat Tuan Mustafa Salim.
Persatuan Penduduk telah memohon 8 perkara kepada MPS dan telah diluluskan antaranya ialah:
1.Tanda nama jalan
2. Bonggol
3. Penurapan jalan
4. Membaiki longkang dan pembersihan
5. Pasar malam bergerak
6. Lampu jalan
7. Dewan komuniti
8. 500 unit pelbagai jenis bunga (hiasan taman)

Yang Berbahagia Dato' Halim telah meluluskan peruntukan RM 1,000 sementara YB Mustafa Salim pula sebanyak RM 2,000.

TERIMA KASIH MPS & YB

MENJAMU SELERA



MENYELERAKAN... Ahli rombongan dijamu minum petang di dewan makan Putra Perdana usai taklimat pembangunan Putrajaya di Dewan Teater aras 1 Blok Timur.
Siri lawatan bersejarah ke JPM.

ERAT KERJASAMA


SALAM MESRA...Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Perdana Menteri (JPM), Encik Hassan Busu menyampaikan cenderamata kepada Hj Zubir Hj Dahari, Pengerusi Persatuan Penduduk Fasa 3, Taman Panchor Jaya.
Cenderamata yang disampaikan amat bermakna buat persatuan kerana ia akan mengeratkan lagi tali silaturahim dan tanda kerjasama yang berkekalan.
Perbincangan dua hala harus dipupuk antara kedua pihak dari semasa ke semasa untuk menyalurkan bantuan dan kerjasama bagi mencapai matlamat persatuan berwawasan.
Siri lawatan ke JPM.


PEMIMPIN MASYARAKAT

POSE MENARIK...dari kiri, Ahmad Wahid (Pengerusi COMBI), Encik Hassan Busu (Pegawai Perhubungan Awam JPM), Hj Zubir Hj Dahari (Pengerusi Persatuan Penduduk), Kapten (B) Norefendie Ismail (Pengerusi KRT), Hj Omar Osman (Ketua UMNO) dan Mat Kasri Kaimi (pesara polis).
Gambar ini diambil ketika lawatan ke Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada 11 Januari 2011 anjuran Persatuan Penduduk Fasa 3 Taman Panchor Jaya.

Friday, May 13, 2011

LAWATAN BERSEJARAH KE JABATAN PERDANA MENTERI




SERAMAI 40 orang ahli Persatuan Penduduk Fasa 3 Taman Panchor Jaya telah mengikuti lawatan akademik ke Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya pada 11 Januari 2011 yang lalu.

Rombongan yang diketuai Pengerusi Persatuan Penduduk Fasa 3 (PPF3), Hj Zubir Hj Dahari dan dibantu Ahmad Wahid, Bendahari PPF3 berlepas ke Kuala Lumpur pukul 8.00 pagi dengan sebuah bas yang disewa khas.

Turut sama dalam rombongan Ketua UMNO Taman Panchor Jaya Bestari, Hj Omar Osman, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Kapten (B) Norefendie Ismail, ibu-ibu tunggal dari Rumah Ibuku Sayang dan Ahli Jawantankuasa Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Negeri Sembilan.

Rombongan terlebih dulu dibawa melawat Petrosains di Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Mereka menghabiskan masa selama sejam melihat pameran bagaimana usaha Petronas mencarigali minyak untuk hasil negara.

Usai makan tengah hari di Restoran Kampung Pandan, rombongan terus dibawa ke Putrajaya.Tujuan lawatan ialah untuk memberi peluang kepada ahli meninjau lebih dekat pentadbiran negara yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Setibanya di sana kira-kira pukul 3 petang ahli rombongan di bawa masuk melalui Balai Pengawal Utama menuju ke bangunan Perdana Putra dan turun ke bawah dengan lif menuju ke Dewan Teater Aras 1 Blok Timur untuk mendengar taklimat pembangunan Putrajaya.

Encik Hassan Busu, Pegawai Perhubungan Awam selaku wakil dari Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perdana Menteri telah menyampaikan taklimatnya sambil menunjukkan tayangan slaid selama 45 minit dan kemudian membuka sesi soal jawab untuk hadirin. Menurut salah seorang pegawai komunikasi korporat yang hadir memaklumkan Perdana Menteri tidak dapat bersama meluangkan masa untuk bertemu rombongan kerana YAB sedang mengadakan mesyuarat keselamatan.

Selepas taklimat rombongan dijamu minum petang di dewan makan. Rombongan kemudian dibawa melawat sekitar bangunan Perdana Putra, lobi perdana, laman perdana dan dataran perdana di mana diadakan perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri.

Hampir dua jam berada di Perdana Putra, rombongan kemudian sembahyang Asar di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali masjid besi yang hanya kira-kira dua kilometer jauhnya dari situ. Usai solat, rombongan membeli-belah sakan di Pasar Tani Mega sebelum berangkat pulang ke Seremban.