Sunday, June 26, 2011

IBU MITHALI



Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Fasa 3, Ustazah Rayah bt Abdul Ghani dinobatkan Ibu Mithali oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pada Hari Keluarga 19 Jun 2011 di Masjid Kariah Panchor Jaya usai Forum Perdana.
Ustazah Rayah merupakan pengasas Rumah Kebajikan Anakku Sayang Seremban (RKASS) dan Rumah Ibuku Sayang (ibu tunggal). Jasa beliau menabur bakti dengan membela 10 orang anak yatim dan ditempatkan di sebuah rumah yang amat selesa, penghantaran ke sekolah diuruskan dengan baik dan sentiasa mendisiplin mereka solat berjemaah di masjid.
Kepada ibu-ibu tunggal dibinakan sebuah rumah untuk mereka menumpang berteduh dan diberikan pendidikan agama sewajarnya. Walaupun ibu-ibu ini ada anak dan keluarga tetapi mereka ke Rumah Ibuku Sayang untuk mendapat pembelaan.
Berkat usaha gigih Ustazah Rayah kedua-dua buah rumah ini dibeli dengan derma orang ramai. Persatuan penduduk mengambil inisiatif menghulurkan sedikit bantuan kewangan dan buku-buku agama untuk perpustakaan anak yatim.

Friday, June 24, 2011

HARI KELUARGA MKPJ



Sambutan Hari Keluarga sempena Hari Ibu dan Bapa disambut begitu meriah pada 19 Jun 2011 lalu di Masjid Kariah Panchor Jaya (MKPJ). Program ini dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seremban dan dirasmikan oleh YB Tuan Mustafa Salim, ADUN Lenggeng.
Pelbagai acara telah dilaksanakan seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan dan derma darah, pertandingan memasak dan gubahan, kuiz keluarga, persembahan multimedia dan forum perdana.
Forum Perdana yang bertemakan 'Sayang Bapa Membawa Bahagia, Sayang Ibu Membawa Ke Syurga' mengemukakan dua orang penalis, SF Ustaz Nor Azamir, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan Ustazah Nik Norsaha, Wanita ISMA.
Adik Zaid Najmuddin, pemenang tempat ketiga final adik-adikku musim ke-2 diundang khas untuk membuat penampilan khas dengan laungan azan yang berkumandang di udara Taman Panchor Jaya.
Untuk memeriahkan lagi suasana, gerai-gerai jualan kain, minuman dan makanan turut dibuka.
YB Mustafa dalam ucapan perasmian telah meluluskan peruntukan RM 5,000 untuk pembangunan masjid.
Persatuan Penduduk Fasa 3 turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM 200 dan buku-buku agama untuk perpustakaan MKPJ.

Monday, June 20, 2011

SUKANEKA MERIAH


Yang Berhormat Tuan Mustafa Salim, Ahli Dewan Undangan Kawasan Lenggeng membuat gimik tendangan penalti sebanyak tiga kali untuk perasmian penutup program Minggu Remaja Bersama Masyarakat DUN Lenggeng di padang awam Taman Panchor Jaya pada 12 Jun 2011
(Ahad).
Pada hari penutup tersebut Persatuan Penduduk Fasa 3 Taman Panchor diberi kesempatan melaksanakan acara sukaneka untuk keluarga yang hadir pada hari itu. Sebanyak 20 acara telah dapat dilaksanakan dengan jayanya dan pemenang-pemenang menerima hadiah masing-masing yang disampaikan oleh YB Mustafa.
Program ini telah berjalan pada 28 Mei 2011 lagi dengan pertandingan futsal, sepak bola, gotong-royong dan pelbagai lagi acara di seluruh DUN Lenggeng.
Kemeriahan minggu remaja ini terserlah apabila tiba hari kemuncak perasmian penutup di Taman Panchor Jaya.
Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi Taman Panchor Jaya (KKSR) pemain utama mengendalikan program tersebut. Segala kemudahan gelanggang futsal yang ada di kawasan Taman Panchor Jaya Fasa 7&8, Taman Seri Telawi digunakan untuk pertandingan futsal manakala padang awam Taman Panchor pula untuk acarasep bola sepak dan sukaneka.
Program melibatkan masyarakat ini mendapat peruntukan besar dari Pejabat Menteri Besar.



Wednesday, June 8, 2011

PROGRAM TURUN PADANG




Program 'turun padang' merupakan rutin harian YB Tuan Mustafa Salim, ADUN Lenggeng yang sudah terbiasa melawat kampung-kampung di kawasannya. Jika tidak sibuk dengan tugasan wakil rakyat atau memenuhi agenda mesyuarat di pejabat atau persidangan dewan undangan negeri di Seremban beliau akan sentiasa meluangkan masa bertemu penduduk kampung.
Pada Rabu lepas (8.6.2011) YB Mustafa besama Pengerusi-Pengerusi JKKK dan ketua kampung dibawa meredah perkampungan Lenggeng untuk menyampaikan bantuan kepada 10 orang miskin dan OKU.
Penulis yang turut bersama rombongan YB dapat merasai betapa nikmatnya orang kampung menerima pembangunan prasarana dan kemudahan yang disediakan kerajaan seperti jalan raya yang sudah berturap membelah kebun-kebun getah mereka.
Rumah-rumah kampung di sekitar Lenggeng ini dapat dilihat sudah mula bertukar wajah dengan pembinaan rumah batu dan dicat dengan hiasan menarik pada rumah-rumah mereka. Jalan-jalan raya yang sudah dilebarkan memudahkan penduduk berurusan ke mana-mana destinasi yang mereka mahu pergi.
Program bermula dari pejabat DUN Lenggeng pukul 9.00 pagi dan berakhir hingga pukul 1.00 tengah hari dengan menaiki kereta dan motosikal. Kadang-kadang YB menaiki kereta dan adakalanya membonceng motosikal. Demi kewajiban pada masyarakat YB tetap gigih menyampaikan bantuan dan bersedia mendengar keluhan dan rintihan mereka. Ada di antara penerima sumbangan yang sudah pun mendapat bantuan kewangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat masih lagi memohon bantuan kepada YB.
YB menyatakan peruntukan dari Pejabat Menteri Besar akan dipohon untuk disalurkan kepada mereka dan yang lebih penting tegas YB supaya mereka memberikan sokongan kepada kerajaan pada pilihan raya akan datang.
Program turun padang ini akan dilanjutkan ke Taman Panchor Jaya pula sebelum tiba bulan Ramadan nanti. Insya-Allah.



Sunday, June 5, 2011

TERIMA SUMBANGAN


Persatuan Penduduk Fasa 3 menerima sumbangan RM 5,000 bagi membiayai aktiviti persatuan. Sumbangan cek disampaikan sendiri oleh YAB Dato' Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan dalam satu majlis di Bilik Tetamu Khas, Wisma Negeri pada 31 Mei 2011.
Sudah dua tahun berturut-turut persatuan menerima sumbangan dari Pejabat Menteri Besar. Insya-Allah persatuan akan manfaat sumbangan ini digunakan untuk pelbagai aktiviti tahunan.
Sebelum itu persatuan juga ada menerima sumbangan sebanyak RM 3,000 dari Majlis Agama Islam Negeri Sembilan pada 3 Mei 2011.